Membaca



Santapan Minda – Kesihatan Jasmani & Rohani (11 Mac) 
(Menengah 3HML & 4ML & 4HML)

Petikan  :  Khamis, 7 Mac, Bantu golongan susah walau cacat

MAHU MENOLONG: Pengasas gerakan I Am Speciable, Encik Kashif Edwards (duduk di kerusi roda), mendermakan beberapa barangan - tiga kerusi roda, lapan kotak lampin, empat kotak tisu basah dan beberapa bungkusan makanan kering - kepada Pusat Rainbow di Margaret Drive, kelmarin.
- Foto JOHARI RAHMAT

Bantu golongan susah walau cacat

BELIAU tidak boleh bergerak atau bertutur seperti belia normal seusianya, namun kecacatan tidak menghalang Encik Kashif Edwards membantu mereka yang memerlukan.
Berbekalkan keinginan kuat membantu mereka yang senasib dengannya - penghidap palsi serebral - Encik Kashif berjaya mengumpul sekitar $3,000 menerusi penjualan kemeja-T yang dihasilkan khas oleh gerakan I Am Speciable baru-baru ini.
Separuh daripada hasil penjualan kemeja-T itu merupakan gaji Encik Kashif, yang menghidap palsi serebral sejak lahir, manakala separuh lagi digunakan bagi membeli barang-barang keperluan bagi kanak-kanak istimewa di Pusat Rainbow.
Gerakan yang ditubuhkan beliau pada Mac tahun lalu itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit tersebut serta membantu golongan memerlukan.
Ini kali keempat gerakan itu memberikan sumbangan kepada persatuan bagi kanak-kanak yang mempunyai keperluan khas.
Sebelum ini ia memberi sumbangan kepada Persatuan Kanak-Kanak Spastik Singapura (SCAS).
Kelmarin, Encik Kashif, 25 tahun, dengan ditemani anggota keluarganya, menderma tiga kerusi roda, lapan kotak lampin, empat kotak tisu basah dan beberapa bungkusan makanan kering kepada Pusat Rainbow di Margaret Drive.
Beliau kelihatan ceria dan riang ketika menyampaikan sumbangannya kepada pengarah eksekutif bekas sekolahnya itu, Cik June Tham, yang berkata Encik Kashif merupakan bekas pelajar pertama sekolah itu mendermakan barang-barang kepada sekolah tersebut.
"Saya sangat berbangga dengan apa yang dilakukan Kashif. Beliau kini menjadi duta palsi serebral. Beliau tidak melihat ketidakupayaannya sebagai satu kecacatan, sebaliknya menggunakannya bagi meningkatkan kesedaran dan menjadi inspirasi kepada orang lain," kata Cik Tham, 62 tahun.
Ibu Encik Kashif, pelakon drama televisyen dan teater Hashimah Hamidon, berkata: "Sebelum beliau mula menjual kemeja-T, perbelanjaannya ditanggung saya dan suami saya. Tapi sejak Kashif bekerja, beliau membeli beberapa barang keperluannya, seperti kad prabayar dan permainan Playstation menggunakan duit sendiri."
Cik Hashimah mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia 15 tahun.
Palsi serebral disebabkan oleh kecederaan pada otak yang berlaku sebelum atau semasa kelahiran dan boleh muncul dalam pelbagai rupa. Ia menjejas pergerakan otot dan kemahiran motor.
Gerakan I Am Speciable ditubuhkan setelah Encik Kashif beberapa kali meluahkan hasrat bekerja agar dapat menyumbang kepada masyarakat.
Memandangkan beliau tidak boleh berdikari dan memerlukan bantuan orang lain, umpamanya untuk makan dan membuang air, abang saudaranya, Encik Sham Latiff, membantu memulakan akaun Facebook bagi gerakan itu.
Sejauh ini gerakan itu telah menjual 507 kemeja-T pada harga $20 sehelai.
Ia turut menerima sumbangan daripada rakan kongsi seperti Wing Yap Motor dan SIR Move Services, yang bekerjasama dengannya di beberapa acara.
Orang ramai yang ingin menyokong gerakan itu boleh memilih Like laman Facebook The "I Am Speciable" Movement diwww.facebook.com/iamspeciablemovement.


1.     Bloom’s Taxanomy – Analyzing :
Dalam petikan ini, “Kashif tidak melihat ketidakupayaannya sebagai suatu kecacatan”.  Apakah yang dimaksudkan dengan pernyataan ini?  Jelaskan jawapan kamu dengan mengutarakan bukti-bukti daripada teks.  (4 markah)

2.     Bloom’s Taxanomy – Evaluating :
Berikan dua pengajaran yang kamu peroleh daripada laporan ini.  (4 markah)


3.     Bloom’s Taxanomy – Creating :
Pada pendapat kamu, adakah golongan kurang upaya perlu digalakkan bekerja? Jelaskan.   (6 markah)


________________________________________________________
Cara memberi jawapan :

Santapan Minda – Kesihatan Jasmani & Rohani (11 Mac)
Soalan 1 :
Soalan 2 :
Soalan 3 :

_________________________________________________________


Tarikh tutup penghantaran sebelum hari Isnin, 11 Mac 20139 pagi.

Terima kasih.
Cg Azizah & Cg Arfah

_________________________________________________________


Santapan Minda – Kembara Sabah (25 Feb)  (Menengah 3HML & 4ML & 4HML)

Petikan  :  Sabtu, 2 Febuari, Sabah : Negeri di bawah bayu
Pautan  : Berita




1.     Bloom’s Taxanomy – Analyzing :
Dalam petikan ini, “Ternyata masa empat hari terlalu suntuk untuk menjelajah negeri Sabah”.  Apakah yang dimaksudkan dengan pernyataan ini?  Jelaskan jawapan kamu dengan mengutarakan bukti-bukti daripada teks.  (4 markah)


2.     Bloom’s Taxanomy – Evaluating :
Berikan dua pengajaran yang kamu peroleh daripada laporan ini.  (4 markah)


3.     Bloom’s Taxanomy – Creating :
Pada pendapat kamu, adakah darmawisata seperti ini sesuai dilaksanakan untuk para pelajar? Jelaskan.   (6 markah)


____________________________________________________________________
Cara memberi jawapan :

Santapan Minda – Kembara Sabah (25 Feb)
Soalan 1 :
Soalan 2 :
Soalan 3 :

____________________________________________________________________

Tarikh tutup penghantaran sebelum hari Selasa, 26 Feb 2013, 9 malam.

Terima kasih.
Cg Azizah & Cg Arfah

____________________________________________________________________

29 ulasan:

  1. Santapan Minda – Kembara Sabah (25 Feb)

    Soalan 1 : Pernyataan ini bermaksud bahawa terdapat terlalu banyak aktiviti yang boleh dilakukan di Sabah sehingga empat hari tidak mencukupi untuk mencuba segalanya. Walaupun penulis telah pusat kajian ekologi kehidupan laut, menjelajah hutan, bersnokel, bermain kayak, melawat perkampungan budaya, melihat haiwan-haiwan di Sungai Kilas dan membeli belah di Pasar Tamu, dia tidak ada peluang untuk mendaki gunung. Selain itu, masa empat hari penulis di Sabah, semua aktiviti berlaku berturut-turut dan penulis tidak ada masa untuk berehat.

    Soalan 2 : Pengajaran pertama yang saya boleh peroleh daripada laporan ini ialah pentingnya untuk menikmati alam di sekitaran kami. Jika kami tidak menikmatinya sekarang, mungkin pada masa hadapan ia akan hilang selama-lamanya. Kima gergasi merupakan salah satu kehidupan laut yang semakin pupus. Oleh itu, kami harus bekerja keras untuk memastikan ia tidak pupus dan generasi yang akan datang dapat menikmati alam sekitar juga.

    Pengajaran kedua yang saya boleh peroleh daripada laporan ini ialah pentingnya untuk berpegang kepada budaya kami. Walaupun dunia sudah menjadi semakin moden, masyarakat etnik Sabah tetap membina rumah-rumah tradisional mereka seperti Rumah Bajau dan Rumah Dusun. Selain dari rumah-rumah tradisional, mereka juga menggunakan pakaian tradisional iaitu dibuat dari pokok.

    Soalan 3 : Pada pendapat saya, darmawisata seperti ini sesuai untuk para pelajar kerana ini merupakan sebuah cara pelajaran yang autentik dan menyeronokkan juga. Melalui lawatan ke Marine Ecology Research Centre, pelajar-pelajar yang berminat dalam bidang Biologi dapat menimba ilmu dalam ekologi kehidupan laut. Selain itu, mereka berpeluang untuk menanam serpihan karang di dalam bekas kecil yang dimasukkan ke dalam dasar laut supaya ia lebih selamat bagi kima-kima gergasi. Dengan itu, mereka menyumbang kepada ekologi kehidupan laut. Mereka juga berpeluang untuk bersnorkel dan melihat pelbagai jenis ikan-ikan. Akhir sekali, pelajar-pelajar tersebut dapat kunjungi dunia haiwan. Pelajar-pelajar yang berminat sukan pula boleh berkayak di lautan. Pelajar dapat menghargai budaya mereka apabila mereka melawati Perkampungan Budaya Mari-Mari kerana masyarakat etnik Sabat tetap berpegang kepada budaya mereka walaupun dunia sudah menjadi lebih moden.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Fatin atas dapatan yang menyeluruh.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 - 0.5 - 0.5 = 3
      - Walaupun penulis telah (melawat) pusat kajian ekologi kehidupan laut, menjelajah hutan, bersnokel, bermain kayak, melawat perkampungan budaya, melihat haiwan-haiwan di Sungai Kilas dan membeli belah di Pasar Tamu, dia tidak ada peluang untuk mendaki gunung.
      - Selain itu, masa empat hari penulis di Sabah, semua aktiviti dilakukan secara (berlaku - perlu imbuhan yang lebih tepat) berturut-turut dan penulis tidak ada masa untuk berehat.

      Soalan 2 : 4 - 0.5 = 3.5
      - Pengajaran pertama yang saya (boleh - tidak perlu) peroleh daripada laporan ini ialah pentingnya untuk menikmati alam di sekitaran kami.

      Soalan 3 : 6 - 0.5 - 0.5 = 5
      - Pada pendapat saya, darmawisata seperti ini sesuai untuk para pelajar kerana ini merupakan sebuah cara pembelajaran (pelajaran-ini untuk istilah 'ilmu') yang autentik dan menyeronokkan juga.
      - Pelajar-pelajar yang meminati (berminat-perlu imbuhan yang lebih tepat) sukan pula boleh berkayak di lautan.

      Jumlah : 11.5/14

      Padam
  2. Santapan Minda – Kembara Sabah (25 Feb)

    Soalan 1 : Pernyataan ini bermaksud bahawa kepelbagaian aktiviti yang boleh dilakukan di Sabah memang teramat, hinggakan terdapat kesempitan masa untuk melakukan semuanya dalam tempoh empat hari yang penulis berada di sana. Buktinya adalah penulis telah melakukan aktiviti-aktiviti seperti mengunjungi MERC, bersnorkel, menyaksikan persembahaan budaya etnik, melawat dunia haiwan, dan menyinggah pasar dalam masa yang terhad dan tanpa waktu untuk bersantai. Tambahan pula, masih ada aktiviti yang tidak sempat dilakukan oleh penulis, seperti melihat dan mendaki Gunung Kinabalu, dalam masa yang dia berada di sana.

    Soalan 2 : Satu pelajaran yang boleh diperoleh daripada laporan ini adalah kepentingan memastikan bahawa jenis-jenis binatang tidak pupus dari muka bumi ini, seperti yang dilakukan oleh MERC di Sabah. Mereka memainkan peranan dalam memastikan spesis yang bakal pupus dapat diselamatkan kerana setiap spesis penting dalam ekologi kita. Lagi satu pelajaran adalah dalam dunia yang kian maju dalam teknologi, kita tetap harus menikmati alam sekita serta menjaga budaya etnik. Sabah menunjukkan perkara-perkara tersebut melalui pemeliharaan hutan-hutan mereka dan budaya etnik mereka.

    Soalan 3 : Pada pendapat saya, darmawisata seperti ini sesuai dilakukan untuk para pelajar. Ia dapat memberikan mereka pengalaman yang luar biasa, dari segi menyaksikan budaya etnik yang berbeza daripada apa yang ada di Singapura, dan juga melihat alam sekitar yang lebih luas dan mempunyai lebih banyak perkara yang menarik seperti gunung-ganang. Ia juga dapat memberikan mereka perspektif yang lebih menyeluruh dan tidak tertumpu pada konteks Singapura sahaja. Melalui pengalaman serta pendedahan kepada situasi yang berbeza, mereka dapat mempelajari daripadanya dan mengaplikasikan apa yang dipelajari dalam kehidupan serta pembelajaran mereka di Singapura.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Norul atas dapatan yang menyeluruh.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 - 0.5 - 0.5 - 0.5 - 0.5 - 0.5 = 1.5
      - Pernyataan ini bermaksud bahawa kepelbagaian aktiviti yang boleh dilakukan di Sabah memang teramat banyak (perkataan yang perlu ditambah), hinggakan terdapat kesuntukan (kesempitan-perlu perkataan yang lebih tepat) masa untuk melakukan semuanya dalam tempoh empat hari (yang-tidak perlu) penulis berada di sana.
      - Buktinya adalah penulis telah melakukan aktiviti-aktiviti seperti mengunjungi MERC, bersnorkel, menyaksikan persembahaan budaya etnik, melawat dunia haiwan, dan menyinggah ke (perkataan yang perlu ditambah) pasar dalam masa yang terhad dan tanpa waktu untuk bersantai.
      - Tambahan pula, masih ada aktiviti yang tidak sempat dilakukan oleh penulis, seperti melihat dan mendaki Gunung Kinabalu, pada (dalam-perlu kata yang lebih sesuai) masa yang dia berada di sana.

      Soalan 2 : 4 - 0.5 - 0.5 = 3
      - Lagi satu pelajaran adalah dalam dunia yang kian maju dalam teknologi, kita tetap harus menikmati alam sekitar (sekita-ejaan yang kurang tepat) serta menjaga budaya etnik.
      - Penduduk Sabah (Sabah-bukan negara yang melakukan perkara tersebut, tapi penduduknya) menunjukkan perkara-perkara tersebut melalui pemeliharaan hutan-hutan mereka dan budaya etnik mereka.

      Soalan 3 : 6 = Baik!

      Jumlah : 10.5/14

      Padam
  3. Santapan Minda – Kembara Sabah (25 Feb)

    Soalan 1 : Ia menunjukkan bahawa Sabah adalah negeri yang besar dan amat luas. Ia juga menunjukkan yang Sabah mempunyai pelbagai perkara yang menarik dan istimewa untuk mendapat tahu tentangnya. Dalam artikel tersebut sudah mempunyai lapan pelbagai aktiviti yang boleh kita lakukan yang berbeza antara aktiviti sukan fizikal, hingga perkara ilmu tentang sejarah.

    Soalan 2 : Dua pengajaran yang boleh saya memperolehi ialah kepentingannya untuk melindungi persekitaran kita supaya boleh mengekalkan alam semulajadi kita. Jikalau tidak, ia boleh menyakiti kita akhirnya dengan adanya pencemaran alam. Selain itu, ia juga penting untuk kita bersukan dan bersenam secara fizikal di persekitaran kita, bukan di hadapan kaca televisyen.

    Soalan 3 : Ya, tentu kerana para pelajar pada hari ini asyik terkepung di rumah di hadapan televisyen atau komputer seperti katak di bawah tempurung. Mereka tidak terdedah kepada perkara-perkara di luar yang lebih hebat kerana ia adalah perkara semulajadi. Mereka gagal untuk melihat keindahan dunia di luar dan juga alam persekitaran yang aslinya. Ini juga boleh menunjukkan bahawa mereka patut bersyukur dengan apa yang diadakan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Iskandar atas dapatan yang agak menarik.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 - 0.5 - 0.5 - 0.5 = 2.5
      - Ia juga menunjukkan yang Sabah mempunyai pelbagai perkara yang menarik dan istimewa untuk dikaji (mendapat tahu tentangnya-dialihbahasa daripada Bahasa Inggeris?).
      - Dalam artikel tersebut sudah mempunyai lapan jenis (pelbagai-perlu perkataan yang lebih sesuai) aktiviti yang boleh kita lakukan yang berbeza termasuk (antara-kata hubung ini kurang sesuai) aktiviti sukan fizikal, hingga ke (perlu menunjukkan peralihan perkara) perkara ilmu tentang sejarah.

      Soalan 2 : 4 - 0.5 - 0.5 = 3
      - Dua pengajaran yang boleh saya perolehi (memperolehi-perlu imbuhan yang lebih tepat) ialah pentingnya (kepentingannya-imbuhan yang kurang tepat) untuk melindungi persekitaran kita supaya boleh mengekalkan alam semulajadi kita.

      Soalan 3 : 6 - 0.5 - 0.5 = 5
      - Ya, tentu kerana para pelajar pada hari ini asyik terkurung (terkepung-ini dalam konteks peperangan) di rumah di hadapan televisyen atau komputer (seperti katak di bawah tempurung-kurang sesuai menggunakan peribahasa dalam menjawab soalan kefahaman).

      Jumlah : 10.5 / 14

      Padam
  4. Santapan Minda – Kembara Sabah (25 Feb)

    Soalan 1: Pernyataan tersebut bermaksud bahawa empat hari yang diberikan untuk menjelajah negeri Sabah tidak cukup kerana terdapat terlalu banyak kegiatan yang boleh dilakukan seperti menyelam ke dasar laut, mendaki gunung tinggi, bersantai di tepi pantai dan lain-lain lagi. Terdapat bermacam-macam kegiatan yang boleh dilakukan di sana sehingga empat hari tidak mencukupi.

    Soalan 2: Pengajaran pertama adalah untuk mempelihara alam sekitar kerana terdapat banyak kecantikan semulajadi yang boleh dilihat. Tanpa peliharaan alam sekitar yang baik, kita tidak akan dapat menikmati kepelbagaian dalam kehidupan kita. Selain itu, ia juga penting untuk menjelajah ke negeri-negeri yang berbeza kerana ia tidak sahaja memberikan peluang untuk kita menikmati kecantikan alam malah mempelajari tentang budaya yang berlainan.

    Soalan 3: Pada pendapat saya, ia wajar untuk melaksanakan darmawisata seperti ini untuk para pelajar kerana terdapat pelbagai perkara yang dapat dipelajari. Mereka tidak sahaja dapat mempelajari tentang perkara daripada aspek Sains tetapi juga daripada aspek budaya dan bagaimana ia berlainan daripada budaya mereka sendiri. Ini dapat meningkatkan tahap pemahaman mereka tentang perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Justeru, tidak akan sentiasa mempunyai fikiran yang cetek seperti katak di bawah tempurung. Namun begitu, ia tidak wajar jika para pelajar yang dibawa tidak dapat mendisiplinkan diri. Ini kerana darmawisata ke tempat-tempat yang penuh dengan kecantikan alam mungkin akan terjejas akibat kelakuan mereka yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, ia wajar untuk membawa para pelajar ke darmawisata seperti ini jika mereka individu yang bertanggungjawab.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Nur Nadiah atas dapatan yang agak menyeluruh & menarik.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 = Baik!

      Soalan 2 : 4 - 0.5 - 0.5 = 3
      - Pengajaran pertama adalah untuk memelihara (mempelihara-perlu imbuhan yang lebih tepat) alam sekitar kerana terdapat banyak kecantikan semulajadi yang boleh dilihat.
      - Tanpa pemeliharaan (peliharaan-perlu imbuhan yang lebih tepat) alam sekitar yang baik, kita tidak akan dapat menikmati kepelbagaian dalam kehidupan kita.

      Soalan 3 : 6 = Baik!

      Jumlah : 13 / 14

      Padam
  5. Soalan 1: Ayat ini bermaksud bahawa terdapat pelbagai aktiviti yang diadakan di Sabah tetapi aktivti-aktivti ini tidak boleh dihabiskan dalam tempoh empat hari. Penulis tidak boleh mencuba beberapa aktiviti di sana kerana kesempitan masa. Sebagai contoh, penulis mencuba pelbagai aktiviti tanpa berehat pada waktu siang. Penulis harus mengejar masa untuk memastikan dia mencuba seberapa banyak aktiviti. Dia mengunjungi dunia haiwan, menyaksikan buday etnik pada hari yang sama. Namun, dia tidak dapat melihat gunung yang tertinggi selama tempoh empat hari di Sabah.

    Soalan 2: Dua pengajaran yang boleh saya perolehi daripada laporan ini ialah untuk mempunyai semangat berani untuk memcuba aktiviti-aktivti lasak. Ini dapat mengeluarkan kita daripada zon keselesaan dan mencuba sesuatu yang baru. Kedua, kita harus bekerjasama sebagai satu masyarakat untuk menyelamatkan spesies yang bakal pupus di dunia ini. Melalut, lawatan ke Marine Ecology Research Centre, penulis sedar tentang pentingnya menyelamatkan spesies yang semakin pupus.

    Soalan 3: Pada pendapat saya, saya rasa darmawisata seperti ini sesuai dilaksanakan untuk para pelajar kerana ia adalah satu wadah untuk pelajar mencuba aktiviti-aktiviti yang lasak dan mempelajari kemahiran yang baru. ia membolehkan pelajar untuk keluar daripada zon keselesaan mereka dan berani menghadapi cabaran. Daripada lawatan ini, ia membolehkan pelajar-pelajar mempelajari lebih tentang budaya Sabah.

    -Nadiah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Nadiah atas dapatan yang agak menyeluruh & menarik.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 - 0.5 - 0.5 = 3
      - Penulis tidak boleh mencuba beberapa aktiviti di sana kerana kesuntukan (kesempitan-perkataan ini sesuai untuk isu kewangan) masa.
      - Dia mengunjungi dunia haiwan, menyaksikan budaya (buday-kesilapan ejaan) etnik pada hari yang sama.

      Soalan 2 : 4 - 0.5 - 0.5 = 3
      - Melalui (,-kedudukan tanda koma tidak sesuai) (Melalut-kesilapan ejaan) lawatan ke Marine Ecology Research Centre, penulis sedar tentang pentingnya menyelamatkan spesies yang semakin pupus.

      Soalan 3 : 6 = Baik!

      Jumlah : 12 / 14

      Padam
  6. Ilya & Hakeem, sila masukkan dapatan kamu secepat mungkin. Terima kasih.

    BalasPadam
  7. Santapan Minda – Kembara Sabah (25 Feb)

    Soalan 1 :
    Maksud pernyataan ini adalah penulis tidak dapat menikmati segala yang Sabah menawarkan kerana walaupun penulis dapat bersnorkel dan mengunjungi Sungai Klias, beliau tidak dapat mendaki gunnung tinggie, bersantai di tepi pantai dan juga mempelajari budaya tradisional orang Sabah kerana terdapat terlalu banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan dalam jangka masa empat hari.

    Soalan 2 :
    Pengajaran pertama yang saya peroleh daripada laporan ini adalah pemerintah Sabah mementingkan keselamatan yang bakal pupus kerana pihak pemerintah membangunkan MERC untuk menyelamatkan kehidupan dasar laut. Kedua, orang Sabah bangga dengan budaya mereka kerana mereka mempamerkan budaya etnik mereka kepada orang awam, terutama sekali para pelancong yang datang ke Sabah.

    Soalan 3 :
    Pada pendapat saya, darmawisata seperti ini sesuai dilaksanakan para pelajar kerana mereka bukan sahaja mempelajari tentang Sabah tetapi mereka juga dapat melawati tempat tersebut dan mengalami kehidupan di sana. Kini, para pelajar tidak akan rasa mata pelajaran mereka membosankan kerana lawatan ini ke Sabah amat menyeronokkan sebab terdapat pelbagai aktiviti menarik yang dapat dikaitkan dengan mata pelajaran tersebut, contohnya untuk mata pelajaran biologi, para pelajar boleh melawati MERC. Tambahan pula, pihak sekolah boleh menganjurkan darmawisata ke Sabah bagi supaya murid-murid dapat berhibur sambil mempelajari tentang perkembangan di Sabah sebab mereka jauh dari kekecohan hidup di bandar.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Hakeem atas dapatan yang agak menyeluruh.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 - 0.5 - 0.5 = 3
      - Maksud pernyataan ini adalah penulis tidak dapat menikmati segala yang Sabah tawarkan (menawarkan-imbuhan yang kurang tepat) kerana walaupun penulis dapat bersnorkel dan mengunjungi Sungai Klias, beliau tidak dapat mendaki gunnung tinggie, bersantai di tepi pantai dan juga mempelajari budaya tradisional orang Sabah. Ini (perlu jadikan 2 ayat agar makna tidak mengelirukan) kerana terdapat terlalu banyak aktiviti menarik yang boleh dilakukan dalam jangka masa empat hari.

      Soalan 2 : 4 - 0.5 = 3.5
      - Pengajaran pertama yang saya peroleh daripada laporan ini adalah pemerintah Sabah mementingkan keselamatan hidup-hidupan (istilah yang perlu ditambah) yang bakal pupus kerana pihak pemerintah membangunkan MERC untuk menyelamatkan kehidupan dasar laut.

      Soalan 3 : 6 = Baik!

      Jumlah : 12.5 / 14

      Padam
  8. Kepada Ilya,

    Sila masukkan dapatan kamu sekarang. Terima kasih.

    BalasPadam
  9. Santapan Minda – Kembara Sabah (25 Feb)

    Soalan 1: Pernyataan tersebut membawa maksud bahawa penulis tidak dapat menikmati pengalaman yang sepenuhnya di Sabah. Penulis rasa yang tempoh masa empat hari tidak cukup walaupun dia telah melakukan aktiviti-aktiviti seperti mengunjungi MERC, bersnorkel, menyaksikan persembahaan budaya etnik, melawat dunia haiwan, dan menyinggah pasar dalam masa yang terhad dan tanpa waktu untuk bersantai. Tambahan pula, masih ada aktiviti yang tidak sempat dilakukan oleh penulis, seperti melihat dan mendaki Gunung Kinabalu, dalam masa yang dia berada di sana.

    Soalan 2: Daripada laporan ini, saya dapat mempelajari tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan binatang-binatang supaya mereka tidak terpupus supaya generasi-generasi pada mada depan juga dapat menghargai mereka. Selain daripada itu, saya juga dapat mempelajari tentang kepentingnya mengamalkan minda terbuka supaya kami dapat cuba perkara yang baru dengan sifat yang berani.

    Soalan 3: Pada pendapat saya, saya rasa yang darmawisata seperti ini sesuai bagi pelajar-pelajar kerana mereka dapat belajar tentang banyak perkara sambil berseronok dengan kawan-kawan mereka di luar negeri. Saya rasa yang mereka akan mempelajari lebih jika mereka berasa seronok dan berada dengan kawan-kawan mereka kerana mereka akan rasa lebih bermotivasi untuk belajar lebih dan juga dapat berbincang dengan kawan-kawan mereka tentang pendapat mereka

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Ilya atas dapatan yang agak menyeluruh.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 - 0.5 = 3.5
      - Tambahan pula, masih ada aktiviti yang tidak sempat dilakukan oleh penulis, seperti melihat dan mendaki Gunung Kinabalu, dalam masa (yang=perkataan yang tidak diperlukan) dia berada di sana.

      Soalan 2 : 4 - 0.5 - 0.5 = 3
      - Daripada laporan ini, saya dapat mempelajari tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan binatang-binatang supaya mereka tidak pupus (terpupus=tidak perlu diimbuhkan) supaya generasi-generasi pada mada depan juga dapat menghargai mereka.
      - Selain daripada itu, saya juga dapat mempelajari tentang pentingnya (kepentingnya=tidak perlu diimbuhkan) mengamalkan minda terbuka supaya kami dapat cuba perkara yang baru dengan sifat yang berani.

      Soalan 3 : 6 = Baik!

      Jumlah : 12.5 / 14

      Padam
  10. Santapan Minda – Kesihatan Jasmani & Rohani (11 Mac)
    Soalan 1 : Pernyataan ini bermaksud bahawa walaupun Kashif mempunyai sebuah ketidakupayaan, dia tetap melihatnya sebagai sesuatu yang positif dan cuba untuk menggunakannya sebagai sebuah kelebihan. Bukti-bukti daripada teks ialah Kashif telah menjadi seorang pengasas gerakan meningkatkan kesedaran dan menjadi inspirasi kepada orang lain. Selain itu, dia telah menggunakan separuh dari gajinya untuk membeli barang-barang keperluan bagi kanak-kanak istimewa di Pusat Rainbow.

    Soalan 2 : Pengajaran pertama yang saya peroleh daripada laporan ini ialah untuk selalu berfikiran secara positif. Dengan itu, jikalau sebuah hari itu ada sesuatu perkara yang buruk telah berlaku, fikiran yang positif akan memastikan bahawa kamu tidak berasa begitu sedih dengan perkara buruk itu. Kashif telah menggunakan ketidakupayaannya untuk menjadi inspirasi kepada orang lain.

    Pengajaran kedua yang saya peroleh daripada laporan ini ialah untuk sering membantu orang. Walaupun Kashif sendiri adalah seorang yang mempunyai kesusahan, dia tetap mahu menolong orang lain. Ini menunjukkan pentingnya untuk menolong orang lain. Walau bagaimanapun, kami patut menolong orang lain mengikuti keupayaan kami sendiri.

    Soalan 3 :

    Pada pendapat saya, golongan kurang upaya perlu digalakkan bekerja kerana mereka patut belajar untuk berdikari. Walaupun masyarakat akan menolong mereka, ia mungkin tidak cukup untuk menampung semua perbelanjaannya. Oleh sedemikian, mereka tidak boleh mengharapkan pertolongan masyarakat semata-mata. Malah, masyarakat boleh menolong mereka dengan meningkatkan kemahiran mereka. Dengan itu, ia akan menolong mereka dalam jangka masa yang panjang kerana mereka boleh menggunakan kemahiran tersebut untuk bekerja. Selain itu, ahli keluarganya mungkin tidak dapat menolongnya untuk selama-lamanya kerana pada suatu hari, ibubapanya akan bersara. Oleh kerana itu, apabila mereka bekerja, mereka dapat berdikari.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Fatin atas dapatan yang baik.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 - 0.5 = 3.5
      - Pernyataan ini bermaksud bahawa walaupun Kashif mempunyai (sebuah=tidak perlu) ketidakupayaan, dia tetap melihatnya sebagai sesuatu yang positif dan cuba untuk menggunakannya sebagai sebuah kelebihan.

      Soalan 2 : 4 - 0.5 = 3.5
      - Dengan itu, jikalau (sebuah hari itu=tidak perlu) ada sesuatu perkara yang buruk telah berlaku, fikiran yang positif akan memastikan bahawa kamu tidak berasa begitu sedih dengan perkara buruk itu.

      Soalan 3 : 6 = Baik!

      Jumlah : 13 / 14 Baik!

      Padam
  11. Santapan Minda – Kesihatan Jasmani & Rohani (11 Mac)

    Soalan 1: Pernyataan ini bermaksud bahawa Kashif tidak menganggap ketidakupayaannya untuk bergerak dan melakukan perkara seperti manusia yang lain sebagai suatu kekurangan. Malahan, dia masih mempunyai keupayaan untuk mencari nafkah bagi dirinya sendiri dan juga menolong orang lain yang mempunyai kecacatan. Sebagai contoh, dia telah menderma tiga kerusi roda, lapan kotak lampin, empat kotak tisu basah dan beberapa bungkusan makanan kering kepada Pusat Rainbow.

    Soalan 2: Daripada laporan ini, saya dapat mempelajari bahawa kita tidak harus berputus asa dengan mudah kerana potensi kita lebih besar daripada apa yang kita fikirkan. Sebagai contoh, walaupun Kashif mempunyai kecacatan, dia berusaha untuk mendapatkan idea bagi menyampung kehidupannya sambil menolong orang yang mumpunyai keadaan yang sama dengannya. Selain itu, ia juga penting untuk mempunyai perasaan empati terhadap mereka yang kurang upaya kerana mereka tetap sebahagian daripada masyarakat dan juga mempunyai potensi untuk memajukan masyarakat.

    Soalan 3: Pada pendapat saya, golongan kurang upaya perlu digalakkan bekerja kerana mereka patut mempelajari cara untuk berdikari dan tidak akan bergantung kepada orang lain untuk pertolongan. Dengan itu, mereka dapat meneruskan kehidupan mereka tanpa bantuan daripada orang lain yang sentiasa berubah-ubah. Namun begitu, mereka tidak patut digalakkan bekerja jika pekerjaan tersebut mempunyai situasi di mana mereka yang kurang upaya akan dihina. Hal ini dapat melemahkan semangat mereka untuk terus bekerja. Justeru, mereka tidak akan mempunyai keinginan untuk melanjutkan kehidupan mereka. Dengan ini, golongan kurang upaya memang perlu digalakkan bekerja tetapi hanya di tempat yang mempunyai orang-orang yang bersifat toleransi terhadap mereka yang kurang upaya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Nur Nadiah atas dapatan yang baik.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 = Baik!

      Soalan 2 : 4 = Baik!

      Soalan 3 : 6 = Baik!

      Jumlah : 14 / 14 Cemerlang!

      Padam
  12. Santapan Minda – Kesihatan Jasmani & Rohani (11 Mac)

    Soalan 1: Pernyataan ini bermaksud bahawa Kashif tidak membenarkan ketidakupayaannya menghalangnya daripada membantu golongan orang yang sepertinya. Dia telah membangunkan gerakan ‘I Am Speciable’ dengan bantuan ahli-ahli keluarganya bagi meningkatkan kesedaran tentang penyakit palsi selebral. Dia telah berjaya menjual beberapa ratus helai t-shirt melalui gerakan tersebut, dan separuh daripada keuntungan yang diraih digunakan untuk menderma kepada Pusat Rainbow bagi kanak-kanak istimewa.

    Soalan 2: Satu pengajaran yang saya memperolehi daripada laporan ini adalah kita tidak patut membenarkan kekurangan kita menghindar kita mengejar impian. Contohnya, walaupun Kashif menghidapi penyakit palsi selebral, dia tetap ingin bekerja supaya dapat memenuhi keinginannya membantu golongan orang yang sepertinya. Saya juga mempelajari bahawa kita patut memberi peluang kepada mereka yang kurang upaya kerana mereka mempunyai potensi untuk memainkan peranan dalam masyarakat. Mungkin mereka tidak dapat menjalankan kehidupan biasa, namun kita tetap harus meluaskan perspektif kita dengan memberikan mereka peluang untuk mencapai kejayaan.

    Soalan 3: Pada pendapat saya, golongan kurang upaya tidak perlu digalakkan bekerja. Ketidakupayaan mereka mungkin akan menjejas pekerjaan mereka, dan ada kalanya ia bakal mengancam keselamatan diri mereka. Namun begitu, walaupun mereka tidak perlu digalakkan bekerja, ia wajar untuk memberikan peluang kepada mereka yang ingin berdikari serta merasakan bahawa mereka mampu untuk membuat pekerjaan. Ini pula harus dilakukan dengan pengawasan seseorang penjaga. Saya rasa bahawa mahupun seseorang kurang upaya berkerja dan berdikari, mereka mempunyai batasan fizikal yang harus dipertimbangkan. Kita harus mengambil kira keterbatasan tersebut kerana ia bakal mengancam keselamatan mereka.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Norul atas dapatan yang baik.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 = Baik!

      Soalan 2 : 4 - 0.5 - 0.5 - 0.5 = 2.5
      - Satu pengajaran yang saya perolehi (memperolehi=imbuhan yang kurang tepat) daripada laporan ini adalah kita tidak patut menjadikan (membenarkan=perkataan kurang tepat) kekurangan kita menghalang (menghindar=perkataan kurang tepat) kita mengejar impian

      Soalan 3 : 6 - 0.5 = 5.5
      - Saya rasa bahawa mahupun seseorang kurang upaya bekerja (berkerja=imbuhan yang salah) dan berdikari, mereka mempunyai batasan fizikal yang harus dipertimbangkan.

      Jumlah : 12 / 14 Baik!

      Padam
  13. Santapan Minda – Kesihatan Jasmani & Rohani (11 Mac)

    Soalan 1: Pernyataan ini bermaksud bahawa Kashif tidak melihat penyakitnya sebagai satu halangan untuknya menyumbang tenaga kepada masyarakat. Dia tidak memberi alasan bahawa penyakitnya tidak membolehkannya untuk bekerja tetapi dia berusaha untuk menjalankan gerakan ‘I am Speciable’ Movement. Dia melihat kekacatannya sebagai sesuatu yang positif dan membantu orang yang memerlukan. Sebagai contoh, dia menggunakan hasil penjualannya untuk membeli tiga kerusi roda, lapan kotak lampin, empat kotak tisu basah dan beberapa bungkusan makanan kering kepada Pusat Rainbow.

    Soalan 2: Pengajaran pertama yang saya boleh perolehi daripada laporan ini adalah selagi kita masih mempunyai daya tenaga yang mencukupi, kita harus menyumbang sebanyak berapa yang kita mampu kepada masyarakat. Sebagai contoh, kita boleh menyumbang tenaga, masa ataupun barang kepada golongan yang lebih memerlukan. Pengajaran kedua yang saya boleh perolehi adalah jangan berputus asa kerana pasti ada jalan penyelesaiannya. Kita harus bekerja keras untuk mencapai apa yang kita inginkan.

    Soalan 3: Pada pendapat saya, golongan kurang upaya perlu digalakkan untuk bekerja kerana mereka harus belajar berdikari dan tidak harus bergantung kepada orang lain ataupun badan bantu diri seperti Mendaki untuk bantuan. Mereka harus memperlengkapkan diri mereka dengan kemahiran supaya dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, saya rasa mereka tidak perlu digalakkan bekerja kerana mereka hanya akan menjadi satu bebanan kepada masyarakat jika mereka tidak dapat mengikut kepada kemahuan orang lain.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Nadiah atas dapatan yang baik.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 - 0,5 = 3.5
      - Dia melihat kecacatannya (kekacatannya=ejaan yang salah) sebagai sesuatu yang positif dan membantu orang yang memerlukan

      Soalan 2 : 4 - 0.5 = 3.5
      - Pengajaran pertama yang saya boleh perolehi daripada laporan ini adalah selagi kita masih mempunyai daya tenaga yang mencukupi, kita harus menyumbang seberapa banyak (sebanyak berapa=susunan yang kurang tepat) yang kita mampu kepada masyarakat.

      Soalan 3 : 6 - 0.5 - 0.5 = 5
      - Mereka harus melengkapkan (memperlengkapkan=imbuhan yang salah) diri mereka dengan kemahiran supaya dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat.
      - Walau bagaimanapun, saya rasa mereka tidak perlu digalakkan bekerja kerana mereka hanya akan menjadi satu bebanan kepada masyarakat jika mereka tidak dapat mengikut (kepada=tidak perlu) kemahuan orang lain.

      Jumlah : 12 / 14 Baik!

      Padam
  14. Santapan Minda – Kesihatan Jasmani & Rohani (11 Mac)

    Soalan 1 : Ia menunjukkan bahawa keadaannya tidak menjadi sesuatu halangan baginya untuk mencapai keinginannya. Di dalam petikan ini, ia menunjukkan bahawa keinginannya ialah untuk membantu golongan susah yang lain sepertinya. Dia dapat mengamalkan perkara ini dengan mengadakan “I Am Speciable” movement. Ini juga dapat membantu bukan dirinya sahaja, tetapi orang di sekelilingnya juga.

    Soalan 2 : Dua pengajaran ialah kita harus selalu bersikap positif terhadap apa-apa situasi kita, tidak kira susah atau senang. Kedua, kita harus menolong orang di sekeliling kita tanpa meminta sesuatu kembali.

    Soalan 3 : Pada pendapat saya, semua ahli masyarakat patut digalakkan bekerja, kerana jikalau tidak, hidup mereka akan disia-siakan. Dengan mengalakkan mereka bekerja, mereka juga akan bersikap lebih positif terhadap diri mereka sendiri supaya boleh menjadi lebih produktif. Ini boleh menyumbang kepada bukan diri mereka sendiri untuk menjadi seseorang yang baik, tetapi kepada masyarakat juga.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Iskandar atas dapatan yang baik.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 - 0.5 = 3.5
      - Di dalam petikan ini, ia menunjukkan bahawa keinginannya ialah untuk membantu golongan susah (yang lain=tidak perlu) sepertinya.

      Soalan 2 : 4 - 2 = 2
      - Setiap isi perlukan penjelasan.

      Soalan 3 : 6 - 0.5 = 5.5
      - Ini boleh menyumbang kepada bukan hanya pada (perlu ditambah agar lebih gramatis) diri mereka sendiri untuk menjadi seseorang yang baik, tetapi kepada masyarakat juga.

      Jumlah : 11 / 14

      Padam
  15. Santapan Minda – Kesihatan Jasmani & Rohani (11 Mac)

    Soalan 1 :
    Maksud pernyataan ini adalah Encik Kashif tidak membenarkan kekurangannya menghalang dirinya daripada menyampai potensinya. Beliau tetap membantu golongan yang memerlukan walaupun diri sendirinya tidak dapat bergerak atau bertutur dengan betul sebab menghidap penyakit palsi serebral.

    Soalan 2 :
    Pengajaran pertama yang dapat diperolehi adalah kita harus mempunyai sikap minda yang positif kerana kita tidak akan berjaya jikalau kita tidak yakin akan kebolehan kita. Kedua, kita seharuslah sentiasa berusaha dan tidak sentiasa bergantung kepada pihak lain untuk menjadi seorang yang mampu diri. Sekiranya kita tidak, kita akan menjadi malas dan tidak dapat berdikari.

    Soalan 3 :
    Pada pendapat saya, mereka sepatutnya digalakkan bekerja kerana masyarakat tidak seharusnya mendiskriminasikan dan menghalang mereka atas dasar kecacatan mereka. Golongan kurang upaya wajar berfikir mereka tidak mempunyai kekurangan. Tambahan pula, jikalau diajar untuk berdiri sendiri, mereka dapat menanggung kos kehidupan merekadan kurang tekanan terletak atas badan-badan yang memberi elaun kepada mereka, yang mungkin tidak dapat memberi cukup duit untuk jangka masa yang panjang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Hakeem atas dapatan yang baik.

      Pembetulan :
      Soalan 1 : 4 - 0.5 = 3.5
      - Maksud pernyataan ini adalah Encik Kashif tidak membenarkan kekurangannya menghalang dirinya daripada memaksimakan (menyampai=perkataan kurang sesuai) potensinya.

      Soalan 2 : 4 - 0.5 - 0.5 = 3
      - Pengajaran pertama yang dapat diperolehi adalah kita harus mempunyai sikap (minda=tidak perlu) yang positif kerana kita tidak akan berjaya jikalau kita tidak yakin akan kebolehan kita.
      - Kedua, kita haruslah (seharuslah=imbuhan yang kurang sesuai) sentiasa berusaha dan tidak sentiasa bergantung kepada pihak lain untuk menjadi seorang yang mampu diri.

      Soalan 3 : 6 - 0.5 - 0.5 - 0.5 = 4.5
      - Golongan kurang upaya wajar fikir bahawa (berfikir=perlu diperbaiki agar lebih gramatis) mereka tidak mempunyai kekurangan.
      - Tambahan pula, jikalau diajar untuk berdikari (berdiri sendiri=perlu perkataan yang lebih tepat), mereka dapat menanggung kos kehidupan mereka dan (kesilapan menaip) kurang tekanan terletak atas badan-badan yang memberi elaun kepada mereka, yang mungkin tidak dapat memberi cukup duit untuk jangka masa yang panjang.

      Jumlah : 11 / 14

      Padam
  16. Kepada Ilya,

    Sila masukkan dapatan awak secepat mungkin. Terima kasih.

    BalasPadam